Saturday, August 28, 2010
Penderaan
Penderaan dalam konteks pemikiran manusia adalah suatu keadaan di mana terdapatnya suatu pihak yang berkuasa menggunakan kekuasaannya untuk menekan pihak yang lemah, sama ada dari aspek fizikal ataupun dari aspek emosi. Lazimnya penderaan acapkali melibatkan kanak-kanak sebagai mangsa, namun begitu terdapat juga kes-kes penderaan yang melibatkan orang dewasa sebagai mangsa. Terdapat pelbagai jenis-jenis penderaan yang dapat diklasifikasikan dalam dunia moden masa kini, antaranya ; penderaan ke atas kanak-kanak, penderaan ke atas kaum wanita, penderaan ke atas orang-orang tua, penderaan ke atas pembantu rumah, penderaan suami ke atas isterinya, penderaan seksual ( kes-kes penganiayaan seks, seperti pencabulan kehormatan, liwat, sumbang mahram dan kes rogol ) dan penderaan ke atas bayi.
Di sebalik kepelbagaian jenis-jenis penderaan ini, ia terbahagi pula kepada dua bahagian; yang pertama iaitu penderaan fizikal, di mana penderaan yang mengakibatkan kesan-kesan luaran seperti lebam-lebam dan luka-luka akibat dipukul, manakala penderaan yang kedua ialah penderaan emosi, di mana ianya tidak meninggalkan kesan terhadap fizikal mangsa tetapi memberikan kesan yang mendalam terhadap emosi mangsa.
Jika dibandingkan di antara kedua-dua jenis penderaan ini, ternyata penderaan ke atas emosi akan memberikan impak yang lebih mendalam terhadap mangsa. Hal ini kerana tekanan emosi yang dialami oleh mangsa akibat perlakuan penderaan ke atas dirinya akan mempengaruhi emosinya secara langsung, dan secara tidak langsung akan mempengaruhi kehidupannya sehari-harian. Manusia adalah golongan benda hidup yang mempunyai perasaan yang tinggi dan paling halus.Berdasarkan Kasmini Kassim, 1998,perasaan atau emosi ini mempunyai tiga komponen:
1. Perasaan dalaman tertentu - Ini dialami dan dirasai secara subjektif seperti rasa takut, suka, duka, marah dan benci.
2. Corak rangsangan fisiologi - Ini termasuk semua perubahan fisiologi dalam badan yang berlaku dalam setiap keadaan emosi seperti merasa jantung berdebar apabila berada dalam keadaan takut dan perut berasa tidak selesa apabila dalam keadaan cemas.
3. Corak penonjolan perasaan secara terbuka (overt) – Komponen ini merangkumi gerak geri badan dan perubahan pada air muka apabila timbulnya pelbagai perasaan dalaman. Seseorang akan bergerak dengan perlahan dan menundukkan kepala apabila berada dalam keadaan sedih atau mata kelihatan terbeliak dan kening berkerut apabila dalam keadaan takut.
Punca-Punca Berlakunya Penderaan.
Berpandukan kepada kajian kaunselor-kaunselor terhadap punca-punca berlakunya kes-kes penderaan, hasil yang didapati ialah punca yang terbesar iaitu melibatkan ganguan emosi pendera itu sendiri. Sebagai contoh pendera mengalami masalah mental dan tidak mampu berfikir panjang dan waras, pendera dalam keadaan mabuk atau khayal semasa melakukan penderaan dan pendera mengalami tekanan serta tidak dapat mengatasi tekanan tersebut dengan cara yang sepatutnya.
Kesan-Kesan Kes Penderaan.
Terdapat pelbagai kesan-kesan yang akan berlaku akibat kes-kes penderaan. Kesan-kesan ini terbahagi kepada dua; iaitu kesan terhadap pendera dan terhadap mangsa penderaan. Jika dilihat daripada kesan terhadap pendera, pendera berkemungkinan akan bertindak dengan lebih agresif dari semasa ke semasa. Hal ini kerana tindakannya dalam kes-kes penderaan yang dilakukannya terdahulu tidak mengakibatkan kesan yang buruk ke atas dirinya. Jadi, tidak mustahil pendera akan menjadi jauh lebih agresif dan tidak lagi mengenal mangsanya. Pendera juga berkemungkinan merasa tekana emosinya hanya dapat dilepaskan dengan melakukan keganasan ke atas individu lain, oleh itu menyebabkan dirinya lebih cenderung untuk melakukan penederaan berulang-ulang kali.
Selain itu, ini juga mengakibatkan pendera lebih cenderung untuk melakukan kes-kes penderaan yang lebih agresif dan melibatkan lebih ramai mangsa, dan merebak ke dalam masyarakat.
Manakala kesan yang lebih negatif akan dirasai oleh mangsa penderaan tersebut. Dari aspek kesan fizikalnya, mangsa akan mengalami luka-luka, masalah kesihatan, kecacatan fizikal dan kecederaan fizikal akibat perlakuan penderaan ke atas dirinya. Malahan ada sesetengah kes penderaan yang meragut nyawa mangsa itu sendiri. Dari aspek kesan emosi pula, mangsa akan menerima tekanan emosi yang mendalam yang akan mempengaruhi kehidupannya sehari-harian kerana hilang kepercayaan ke atas dirinya sendiri. Sebagai contoh, mangsa akan menjadi lebih penakut untuk menghadapi masyarakat kerana trauma akan perlakuan penderaan ke atasnya. Dalam sesetengah kes pula, mangsa penderaan lebih cenderung bertindak dengan lebih agresif dan mengakibatkan mereka melakukan penderaan terhadap orang lain, sebagaimana yang diperlakukan ke atas dirinya.
Langkah-Langkah Mengatasi Masalah Penderaan.
Antara langkah-langkah yang dapat diambil untuk mengelakkan berlakunya masalah penderaan:
# Penguatkuasaan undang-undang dengan lebih ketat. ( sebagai contoh: Pengenalan Akta-Akta khas bagi melindungi mangsa penderaan seperti Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1997. )
# Penguatkuasaan hukuman yang lebih ketat. ( sebagai contoh: hukuman yang lebih berat ke atas pendera, sebagai contoh; penjara 20 tahun dan sebatan 10 kali. )
# Pendekatan dari segi agama. ( sebagai contoh: setiap agama mengharamkan penganutnya untuk melakukan keganasan, apatah lagi melakukan penderaan ke atas orang lain, dengan pendekatan dan mendalami agama, masalah penderaan dapat diatasi. )
# Perlaksanaan kempen kesedaran oleh kerajaan dan badan bukan kerajaan atau dikenali sebagai NGO ( sebagai contoh: kempen seperti “ Keluargaku, Syurgaku ” bertujuan untuk memupuk rasa cinta daripada bermula daripada institusi kekeluargaan dan mencegah kes-kes penderaan yang berlaku di dalam institusi kekeluargaan itu sendiri. )
# Menghantar pendera ke doctor-doktor pakar sakit jiwa atau rumah-rumah sakit jiwa untuk menerima lawatan lanjut.
MOHD AWIS ADHA B.JASRI
200330
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment