selamat datang

selamat datang
SALAM PERTEMUAN........Seperti yang diketahui umum, kini kita telah berada di era globalisasi yang begitu pesat berkembang. Banyak perubahan dan kejayaan yang dapat dilihat dari semasa ke semasa. Malaysia juga tidak ketinggalan untuk turut bersama mengikut arus permodenan ini. Negara kita tidak kurang hebatnya untuk brsaing dengan negara-negara lain. Banyak penyelidikkan dan pembanggunan telah dijalankan bagi merialisasikan matlamat jangka panjang negara kita iaitu Wawasan 2020. Kerajaan telah menjalankan banyak usaha bagi memastikan Malaysia akan terus maju dan berkembang. Malangnya, sebenarnya kita mempunyai masalah dalaman yang begitu membimbangkan. Jika ia dipandang remeh terhadap masalah ini, kita mungkin akan mempunyai kesukaran untuk mencapai matlamat kita. Masalah tersebut adalah masalah sosial yang kebanyakkannya membabitkan remaja negara. Generasi yang akan memimpin negara pada masa akan datang. Mereka jugalah yang akan menyambung usaha untuk memajukan negara kita. Jadi, masalah sosial harus dipandang serius oleh semua pihak. Justeru, kami dari kumpulan 33 bagi matapelajaran Bahasa Melayu Pengurusan telah memilih masalah sosial sebagai tema kepada blog yang ingin dicipta. Segulung jutaan terima kasih yang tak terhingga dari kami kepada pensyarah subjek ini iaitu Pn. Ainal Akmar kerana memberi peluang untuk kami menimba dan mematangkan fikiran serta mnencetuskan idea membina sebuah blog agar dapat menjadi titipan orang ramai agar lebih perihatin terhadap masalah yang melanda sekaligus bersama-sama dalam membendung gejalah yang kian menjadi kini.

Saturday, August 28, 2010

Ragut



Kini jenayah ragut kian berleluasa tanpa mengira tempat iaitu berlaku di bandar dan juga di kampung. Lebih menakutkan, sebahagian dari akibat jenayah ragut ini membawa kepada kematian mangsa yang diragut. Ini terbukti apabila mangsa ragut yang cuba mempertahankan hartanya mengalami kecederaan yang akhirnya menemui kematian. Contoh bagi mangsa ragut yang menemui ajal akibat jenayah ragut adalah seperti yang berlaku kepada Lim See Nya pada 10 Disember 2008 di Bukit Mertajam di mana ketika kejadian beliau sedang berjalan kaki dari pasaraya menuju ke keretanya, namun beliau maut akibat digilis sebuah lori apabila beliau hilang pertimbangan dan terjatuh ke atas jalan raya setelah dua orang lelaki meragut beg tangannya dengan menaiki motosikal. Bagi sebahagian mangsa ragut yang terselamat pula mengalami trauma di mana tidak mudah bagi mereka untuk melupakan kejadian yang mencemaskan itu malah mungkin menjejaskan aktiviti harian mereka seperti diselubungi perasaan takut untuk menjejakkan kaki keluar dari rumah mereka.


Peragut tidak mengambil peduli siapa yang menjadi mangsa ragutnya baik dari mereka yang di peringkat muda hinggalah ke peringkat dewasa. Namun kebanyakan mereka yang sering menjadi mangsa ragut ini terdiri daripada golongan wanita. Tidak dinafikan kejadian jenayah ragut ini bukan sahaja boleh berlaku kepada mangsa yang berjalan kaki malah turut berlaku terhadap penunggang motosikal.



Mengenali Punca-Punca Jenayah Ragut

Kebiasaannya golongan penjenayah ini terdiri daripada mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetap serta terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Membeli dadah memerlukan wang dan cara paling mudah untuk mereka yang berfikiran cetek ini mendapatkan dadah adalah dengan mencuri atau meragut wang tunai yang merupakan hak milik orang lain. Maka di antara faktor utama menyebabkan ragut adalah sikap peragut itu sendiri yang hanya mementingkan dirinya sendiri. Ragut juga berlaku kerana kurangnya unsur nilai-nilai moral dan ajaran agama dalam diri mereka sehingga mereka gagal untuk membezakan di antara perbuatan yang benar dengan perbuatan yang salah.

Seterusnya punca yang menyebabkan ragut adalah dari sikap sebahagian masyarakat yang suka menyimpan wang atau dompet mereka di bahagian terbuka yang mudah dilihat oleh peragut. Selain itu sikap mangsa khususnya golongan wanita yang suka membawa beg tangan dengan cara yang mudah untuk diragut serta mangsa yang memakai barang perhiasan dengan tujuan untuk ditonton oleh orang ramai juga maka akan menarik perhatian peragut. Sikap segelintir masyarakat yang sibuk menjawab panggilan telefon sehingga tidak peka akan keadaan persekitaran juga memberikan peluang kepada peragut untuk meragut barang peribadi mereka.


Bagaimana mengatasi jenayah ragut?

Umum mengetahui bahawa tugas mengurangi atau mengatasi jenayah ragut ini kebiasaannya terletak pada bahu pihak berkuasa seperti pihak polis namun sebagai masyarakat yang prihatin, kita tidak boleh hanya bergantung kepada mereka sahaja sebaliknya bersama-sama mengambil bahagian dalam mengatasi jenayah ragut yang tidak berperikemanusiaan ini. Sikap prihatin masyarakat yang membantu pihak polis ini sekurang-kurangnya akan dapat menyelesaikan masalah kekurangan anggota pihak berkuasa yang sedia ada. Namun begitu pihak polis tetap melaksanakan tugas mereka dengan melakukan penyamaran, pemeriksaan, operasi pencegahan yang berterusan dan sebagainya. Masyarakat boleh membantu pihak berkuasa dengan cara memberikan maklumat berkaitan kes ragut seperti segera melaporkan atau menelefon pihak polis apabila berlaku kes ragut.

Selain itu orang ramai perlulah di maklumkan bahawa sesuatu kawasan itu pernah berlaku kejadian jenayah ragut atau berisiko tinggi untuk kejadian jenayah ragut . Contohnya dengan meletakkan papan tanda di kawasan-kawasan yang berisiko itu serta lorong-lorong yang gelap hendaklah diletakkan cahaya dari tiang lampu bagi mengurangi risiko diragut. Manakala bagi masyarakat pula haruslah sentiasa berwaspada ketika berada di kawasan umum. Setiap individu haruslah berwaspada khususnya pada setiap orang yang tidak dikenali yang menghampiri kita. Elakkan berjalan bersendirian dengan memakai barang kemas yang mudah dilihat oleh orang ramai. Selain itu sentiasa menjaga dan memeriksa segera beg tangan atau dompet jika di asak atau di langgar oleh orang lain. Bagi masyarakat yang berada di dalam kenderaan awam pula hendaklah menjaga barang dengan baik dan tidak meninggalkan barang dengan sendirian tanpa dijaga.


Kesimpulan

Suatu jenayah boleh di cegah jika mendapat kerjasama dari semua pihak. Janganlah bersikap tidak ambil peduli sekiranya anda diminta untuk memberikan maklumat penting kepada pihak polis. Beranikan diri untuk bekerjasama dengan polis serta janganlah menganggap ibarat menempah maut apabila membantu membuat laporan kepada pihak berkuasa. Adalah menjadi harapan agar penjenayah-penjenayah ini dapat ditangkap dan di kenakan hukuman yang setimpal dengannya. Selain itu kerjasama dari media massa seperti media cetak dan media elektronik juga boleh membantu mengurangkan kadar jenayah ragut dengan memaparkan maklumat-maklumat penting berkaitan jenayah ragut terhadap masyarakat. Singkirkanlah bahawa anggapan kejadian ragut tidak mungkin berlaku kepada anda dan berwaspadalah pada setiap masa.

NABILAH BT ABDUL MUTALIB
199794

No comments:

Post a Comment